TINDAKAN seorang wanita China menendang anak perempuan tirinya dengan kejam di sebuah taman permainan sekolah berjaya dirakam satu kamera litar tertutup yang terdapat di situ.
Ibu kepada tiga kanak-kanak itu mendakwa bahawa anak perempuan tirinya yang berusia enam tahun itu konon tidak menjaga adik tirinya, lapor portal Daily Mail memetik People’s Daily Online.
Klip berdurasi 12 saat yang tersebar secara meluas di negara itu turut mengejutkan warganya dan ia difahamkan berlaku di Nanshan, salah satu daerah di bandar raya Shenzhen.
Sementara itu, bapa kepada kanak-kanak perempuan itu iaitu Yang memberitahu anaknya mengalami kecederaan di mulut selepas dihempas ke lantai setelah ditendang hingga terpelanting ke udara.
Tambah Yang lagi, dia sering melihat kesan-kesan luka pada mangsa yang dikenali sebagai Little Star tetapi Ge menafikan ada mencederakan kanak-kanak itu.
Namun setelah tembelangnya pecah, Ge mengaku bahawa dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian terhadap Little Star dan memohon maaf atas perlakuannya itu.
Malah difahamkan bahawa Little Star juga telah memaafkan ibu tirinya itu.
Di dalam video yang menjadi tular itu, mangsa iaitu Little Star dilihat tercampak ke udara sebelum jatuh terduduk di atas lantai taman permainan tersebut.
Little Star yang berpakaian merah, cuba bangkit namun ibu tirinya; Ge sekali lagi menendangnya di kepala hingga terjatuh buat kali kedua meskipun cuba dihalang oleh seorang lelaki dikenali sebagai Li.
Jelas laman tempatan negara itu, selain menjaga Little Star, Ge juga terpaksa menjaga dua anak perempuan kandungnya, yang mana Little Star adalah yang paling tua antara ketiga-tiga kanak-kanak itu.
Menerusi laporan yang dibuat, pada hari kejadian, Ge membawa Little Star dan dua anak perempuan kandungnya yang berusia dua tahun ke tadika.
Li yang merupakan saksi kejadian itu memberitahu bahawa salah seorang anak Ge terjatuh terkena buaian yang dinaiki oleh kanak-kanak lain.
Kemudian Ge menyalahkan Little Star kerana tidak menjaga adik tirinya dan bertindak menendang kanak-kanak itu meskipun telah dihalang oleh Li.
Video tular berkenaan telah dimuat naik oleh laman Miaopai oleh pengguna dikenali sebagai First Hand Video semalam. – MYNEWSHUB.CC