KUALA LUMPUR – Hasrat seorang peniaga untuk berkahwin terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu kerana wang RM10,000 untuk belanja perkahwinannya dilarikan dua individu.
Kejadian itu menimpa Rahmat Putra Ali, 28, pada 4 pagi Jumaat lalu di mana wang tersebut disimpannya di dalam beg dan diletakkan di dalam lori di Pasar Borong Selayang di sini.
Menurut bakal isterinya Ida Yenny Baharum Mukhtar, 28, dua lelaki melarikan beg itu ketika Rahmat Putra berjalan menuju ke pasar untuk membeli barang.
“Dia cuba mengejar mereka, namun gagal. Saya reda wang itu tiada, namun rancangan untuk kami berkahwin dalam masa terdekat terpaksa ditangguhkan dahulu,” katanya ketika dihubungi.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R.Munusamy mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan. – BERNAMA