TIGA lelaki pedofila yang ditahan berhubung kes rogol dan bunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Kota Sorong, Papua Barat, akan dihukum kembiri dan dipenjara seumur hidup, lapor Tribunnews.
Ketua Perhubungan Awam Polis Indonesia, Inspektor Jeneral Boy Rafli Amar berkata, hukuman kembiri secara kimia akan dijalankan bagi pesalah seks kanak-kanak menurut undang-undang di negara itu.
“Hukuman tambahan iaitu kembiri akan dijalankan terlebih dahulu sebelum ketiga-tiga suspek dipenjarakan,” katanya.
Donal Wanggaimo, 20, Nando Kinombae, 19, dan Lewi Gogoba, 20, yang juga merupakan jiran kepada mangsa, mengaku merogol, mencekik hingga mati sebelum menanam mayat kanak-kanak itu ke dalam lumpur.
Sebelum kejadian, Donal mengambil mangsa dari rumahnya dan membawanya ke dalam semak di hujung jalan sebelum dua lagi rakannya datang dan secara bergilir-gilir merogol mangsa.
Antara kesan luka yang ditemui ialah bibir atas mangsa bengkak serta kesan luka sepanjang satu sentimeter pada bahagian dalam bibir. Selain itu, dagu kanak-kanak malang itu juga ada kesan luka serta bengkak.
Mayat mangsa ditemui pada Selasa lalu berdasarkan maklumat dari abangnya yang melihat Donal bersama mangsa sebelum menyedari kehilangan adiknya itu. Donal dan dua lagi rakannya ditahan beberapa jam kemudian. – MYNEWSHUB.CC