IPOH – Tiga pusat pemindahan banjir di Perak ditutup setakat pukul 11.40 pagi tadi, demikian menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.
Kenyataan itu menyebut, dua daripada pusat pemindahan terlibat adalah di daerah Larut, Matang dan Selama iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar yang serta Surau Kampung Jawa, Trong.
“Pusat pemindahan di SK Batu Hampar ditutup oleh ketua kampung petang semalam, manakala pusat pemindahan di Surau Kampung Jawa, Trong ditutup oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pukul 11.15 pagi tadi,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Menurutnya, satu lagi pusat pemindahan yang ditutup adalah di daerah Kinta iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Piandang, Batu Gajah pada pukul 10.30 pagi.
“Dengan penutupan tersebut jumlah pusat pemindahan yang masih dibuka di seluruh Perak adalah tujuh dengan menempatkan 538 mangsa banjir setakat pukul 12 tengah hari ini,” katanya.
Jumlah itu berkurang berbanding 655 orang yang direkodkan setakat pukul 8 pagi tadi. – BERNAMA