KUALA LUMPUR – Transformasi Nasional 2050 (TN50) berupaya menyedia dan melengkapkan struktur ekonomi negara selepas Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud, berkata agenda Malaysia selepas mencapai matlamat Wawasan 2020 juga mampu membuka lebih banyak lagi pasaran baharu bagi usahawan tempatan.
“Bagaimanapun, golongan usahawan terutamanya usahawan muda perlu mengasah bakat mereka dan tampil lebih kreatif supaya mereka dapat bersaing secara sihat.
“Ini yang kerajaan mahukan daripada usahawan muda agar kita tidak ketinggalan dan ini dapat dilakukan melalui TN50,” katanya kepada Bernama.
TN50, yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas Wawasan 2020.
Pada pelancaran TN50 baru-baru ini, Najib berkata ekonomi digital berupaya meningkatkan ekonomi Malaysia kepada US$2 trilion (US$1.00=RM4.44) dalam masa lapan tahun akan datang berbanding US$1.3 trilion ketika ini, dan sektor digital dipelopori oleh golongan muda.
Dzulkifli berkata Malaysia harus mempunyai infrastruktur yang kondusif dalam melengkapkan golongan muda ke arah ekonomi digital.
Katanya kerajaan telah mengambil inisiatif termasuk melantik Pengerusi Kumpulan Alibaba, Jack Ma sebagai penasihat ekonomi digital Malaysia.
Alibaba adalah satu platform e-dagang yang ditubuhkan pada 1999, mempunyai lebih 46,000 pekerja dengan perolehan tahunan sebanyak RM60 bilion dan nilai aset kira-kira RM226 bilion.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Mohamad Md Yusoff berkata TN50 boleh direalisasikan dengan Malaysia perlu mengkaji semula sistem pendidikan dan dipacu industri dan permintaan.
“Kita memberi respons kepada pasaran idea dan menjangka potensi pertumbuhan pada masa akan datang, seperti teknologi terkini, Internet of Things, robotik dan pewujudan nilai perniagaan.
“Kita juga perlu membentuk proses pemikiran kita untuk menjadi kreatif dan inovatif dengan mengukuhkan industri kreatif dan komunikasi pemasaran,” katanya.
Mohamad berkata ekonomi digital adalah langkah ke hadapan Malaysia dan usaha untuk mempelbagaikan pertumbuhan negara.
“Jika ia dilaksanakan dengan baik, kita akan berada pada kedudukan 20 negara utama seperti yang dinyatakan oleh kerajaan,” katanya.
Najib sebelum ini berkata kerajaan telah menetapkan matlamat bagi TN50, iaitu Malaysia menjadi 20 negara utama menjelang 2050. – BERNAMA