KUCHING – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia pukul 1.20 tengah hari Rabu di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan dekat sini dalam usia 72 tahun.
Pemergian secara mengejut ke Rahmatullah amat dirasai kerana allahyarham yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sepatutnya bakal menyambut hari kelahiran yang ke-73 tahun pada 27 Januari depan.
Berita sedih ini disahkan oleh doktor peribadi pakar jantung beliau sendiri, Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian yang juga menteri Kabinet negeri itu dan Presiden SUPP, salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.
Jenazah kemudian dibawa balik ke rumahnya di Santubong jam 4 petang manakala pada pukul 7.30 pagi esok akan dibawa ke Masjid Jamek Petra Jaya sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Samariang selepas solat zohor.
Allahyarham merupakan ketua menteri kelima negeri terbesar di Malaysia tersebut selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari 2014 untuk kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tanjung Datu selama tiga penggal itu meninggalkan seorang balu, Puan Sri Jamilah Anu dan lima orang anak iaitu Siti Rafidah, Abdul Aziz, Hayati Kamidah, Aziza Jasmin dan Azizul Anuar.
Graduan Universiti Adelaide, Australia itu mencipta sejarah tersendiri apabila BN Sarawak yang diterajuinya tanpa diduga berjaya catat kemenangan besar Pilihan Raya Negeri tahun lalu dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi.
Adenan yang mendapat pendidikan di sekolah rendah dan menengah St. Joseph di sini pernah bertugas sebagai wartawan, guru serta kemudian majistret sebelum menceburi arena politik dengan menyertai PBB sejak 1976
Allahyarham lebih mesra disapa sebagai Tok Nan juga diingati rakyat Sarawak kerana mempopularkan sebutan tempatanĀ Ooo-Ha dan You-YouĀ yang sering digunakan beliau apabila ‘turun padang’ bertemu dengan masyarakat.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan meletakkan roh allahyarham pemimpin Sarawak ini dalam kalangan insan yang beriman. Inna lillah wa inna ilaihi rojiun. – Mynewshub.cc/HAA