PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengenakan sekatan masuk kepada pelancong dan pendatang dari tujuh negara Islam selama 90 hari bermula semalam.
Tindakannya itu dikatakan bertujuan untuk melindungi rakyat Amerika daripada serangan pengganas.
Tujuh negara itu ialah Syria, Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.
Walaupun sekatan itu bersifat sementara, namun banyak pihak mengecam perkara tersebut termasuk rakyat AS sendiri.
Malah pakar perundangan di negara Uncle Sam itu juga tidak bersetuju dengan polisi terbaharu Trump.
Menurut mereka, pendatang mahupun pelancong yang memasuki AS dengan visa yang sah tidak perlu dihantar balik seperti mana yang diarahkan Trump.
Kesemua pakar tersebut telah menghantar petisyen sebagai salah satu langkah membantah sekatan 90 hari yang dikenakan ke atas rakyat tujuh negara Islam itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pula bernada berbeza dengan Trump apabila mengalu-alukan pelarian yang dilarang masuk ke AS untuk datang ke negaranya.
Menerusi kenyataan rasminya di Twitter, Justin berkata, Kanada mengalu-alukan kedatangan pelarian yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama.
“Kepelbagaian adalah kekuatan kita,” tulis beliau. – MYNEWSHUB.CC