SEORANG lelaki mengalami pengalaman meloyakan apabila menemui beberapa ekor ulat di dalam roti sardin yang dibelinya di sebuah kedai serbaneka 24 jam.
Mangsa, Kenny Ooi menerusi posting yang dimuat naik di laman Facebook mengatakan dia menyedari kewujudan ulat itu selepas menggigit hampir separuh roti tercemar itu.
“Saya sudah makan separuh dari roti ini, sangat menjijikkan,” ujarnya.
Kenny yang turut memuat naik video, menunjukkan dengan jelas keadaan roti sardin tersebut yang berulat dan ulatnya masih bergerak.
Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya tiga hingga empat ekor ulat dipercayai berada dalam makanan itu membuatkan dia berasa sangat mual seperti mahu muntah semula.
Dia bagaimanapun telah membawa semula roti berulat itu kepada pihak pengurusan kedai untuk memaklumkan perkara yang berlaku.
Namun ada pihak yang merasa Kenny cuba untuk melakukan sabotaj bagi memburukkan imej syarikat pengeluar roti sardin tersebut.
Bagaimanapun, Kenny menafikan perkara tersebut dengan mengatakan hanya mahu memberi peringatan kepada netizen supaya berhati-hati dengan apa jua makanan yang dibeli.
“Sebagai peringatan, apa sahaja makanan yang dibeli, kita perlu memberi perhatian dari semasa ke semasa untuk mengelakkan perkara tidak diingini seperti ini berlaku,” ujarnya.
Sementara itu, pihak pengeluar jenama roti berkenaan masih tidak memberikan sebarang respon berhubung perkara ini. – MYNEWSHUB.CC