JIKA di semenanjung, orang Melayu amat gemar menjadikan pucuk paku sebagai ulam-ulaman segar untuk dimakan bersama nasi. Memang sedaplah lebih-lebih lagi dicolek dengan sambal belacan.
Tetapi lain pula ceritanya di Indonesia apabila seorang lelaki ini yang juga merupakan penggemar ‘paku’, sanggup menjadikan bahan besi itu sebagai makanan kegemarannya.
Menerusi rakaman video yang menjadi tular di media Indonesia, lelaki berusia 50-an ini dilihat betul-betul memakan paku seperti sedang berselera memakan nasi.
Paku-paku itu diambil dengan menggunakan tangan dan kemudian disuap masuk ke dalam mulut.
Jumlah paku yang dimasukkan ke dalam mulutnya memang banyak dan bagaimana dia dapat mengunyah besi itu tidak diketahui. Nampak seperti mudah sahaja dia menelan paku-paku berkenaan.
Jika aksi yang dilakukannya secara berseorangan, ada kemungkinan ia adalah video yang dirakam menggunakan tipu helah penggambaran, tetapi dalam hal ini ia tidak dapat dikesan.
Apa yang pasti, kekuatan gigi dan kunyahan lelaki ini pastinya bukan sebarangan kerana objek keras seperti besi memerlukan daya yang kuat untuk dihancurkan.
Daripada pertuturan yang boleh difahami dalam video, lelaki terbabit dipercayai berasal dari Bekasi, Indonesia. – MYNEWSHUB.CC