MALANG memang tidak berbau. Seorang wanita warga emas terpaksa menahan sakit tersepit antara mangkuk tandas dan tab mandi di bilik air rumahnya di Jalan Lembah Kledang, Ipoh, Perak.
Dalam kejadian jam 6 pagi Khamis itu, mangsa yang berusia 79 tahun, dipercayai tergelincir sebelum tersepit celah ruangan antara mangkuk tandas dan tab mandi.
Ahli keluarga yang menyedari insiden itu bagaimanapun gagal mengeluarkan mangsa.
Susulan itu, pasukan bomba dan penyelamat dipanggil untuk membantu mangsa.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 6.13 pagi.
“Anggota menggunakan alatan khas untuk mengumpil serta mengalihkan mangkuk tandas itu sebelum mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas perubatan sebelum dibawa oleh ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan,” katanya.
Sumber: BH Online