KUALA LUMPUR – Ketua pasukan hoki wanita kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani yakin pasukan negara mampu mencipta kejutan pada perlawanan kedua Kumpulan B saingan Liga Hoki Wanita Dunia Pusingan Kedua (WHWL) menentang Ireland Isnin depan.
Beliau berkata selepas melalui beberapa siri perlawanan persahabatan tahun lepas, kini beliau dan pasukannya sudah bersedia untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka apabila turun menentang pasukan ranking ke-16 dunia itu.
“Selama setahun kami membuat persiapan yang rapi termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di luar negara, jadi kami sememangnya telah bersedia dan teruja untuk memulakan kempen kejohanan ini terutama pertemuan menentang Ireland nanti.
“Setiap pemain mempunyai peranan masing-masing dalam pasukan dan saya yakin dengan rakan sepasukan saya, jadi inilah masanya untuk kami membuktikan kemampuan sebenar kami,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Wales di sini semalam.
Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu menggesa rakan sepasukannya untuk memperkemaskan corak permainan terutama ketika menyerang dan menyempurnakan dengan baik setiap peluang jaringan yang dicipta.
“Kami perlu tumpukan lebih sedikit di bahagian serangan supaya setiap peluang jaringan yang dicipta akan disempurnakan dengan baik,” jelasnya.
Sementara itu, penjaga gol pasukan negara, Farah Ayuni Yahya mengakui selepas dua minggu kembali berlatih bersama skuad negara, kini keserasian bersama rakan sepasukan dan aras keyakinannya berada di tahap terbaik.
Namun, Farah yang meraih gelaran penjaga gol terbaik Asia pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Singapura, November lalu, akui masih perlu bekerja keras dari segi taktikal permainan baharu yang diterapkan oleh jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah.
“Saya sudah mendapatkan kembali keserasian bersama pasukan kerana kami sering berkomunikasi dalam latihan setiap hari, tetapi dari segi taktikal, saya masih perlu berikan tumpuan yang lebih,” katanya.
Pasukan negara yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan cabaran mereka menentang Hong Kong pada 14 Jan, diikuti Ireland (16 Jan) sebelum bertemu Kazakhstan dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 17 Jan. – BERNAMA