KUALA LUMPUR – Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat yang baharu, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Pemangku Ketua Protokol Amerika Mark E Walsh.
Penyerahan salinan watikah itu dibuat pada majlis di Jabatan Negara Amerika di Washington D.C pada Isnin lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Malaysia di Washington D.C. di sini hari ini.
Ketibaan Zulhasnan yang diiringi Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia Washington D.C Shaiful Anuar Mohammad, disambut oleh Penolong Ketua Protokol Gladys Baludo.
Antara yang turut menyaksikan penyerahan salinan watikah itu adalah Penolong Setiausaha Negara bagi Asia Timur dan Pasifik Daniel Russel dan Timbalan Penolong Setiausaha Negara bagi Asia Timur dan Pasifik Patrick Murphy.
Zulhasnan pernah menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dari 2006 hingga 2009 dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dari 2004 hingga 2006.
Beliau juga pernah menjadi Anggota Parlimen Wangsa Maju dari 1999 hingga 2004 dan Anggota Parlimen Setiawangsa dari 2004 hingga 2013.
Sejak 2014, Zulhasnan merupakan Canselor Geomatika University College Malaysia. – BERNAMA