KOTA KINABALU – Sebanyak 10 rumah setinggan di Kampung Kibagu, Menggatal dekat sini, dirobohkan dalam operasi bersepadu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama polis dan jabatan lain, hari ini.
Penolong Ketua Bahagian Penguatkuasa (Setinggan) DBKK, Mohd Romzi Musa berkata notis amaran mengosongkan rumah dan berpindah telah dihantar kepada mereka yang terlibat sejak sebulan lepas, namun mereka enggan berbuat demikian.
“Notis amaran sudah dikeluarkan pada 11 dan 12 Januari lalu. Namun mereka masih tinggal di sini tanpa sebarang rayuan rasmi untuk melanjutkan tempoh pengosongan.
“Hari ini baru ada yang membuat rayuan secara lisan tetapi tindakan merobohkan struktur rumah tetap diteruskan kerana ia dibina secara haram di tanah kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini, hari ini.
Beliau berkata operasi meroboh penempatan haram di kawasan itu adalah yang pertama kali diadakan oleh DBKK selepas mendapat aduan daripada penduduk setempat.
“DBKK telah merobohkan 20 penempatan haram di sekitar Kota Kinabalu sejak awal tahun ini,” katanya. – BERNAMA