BAGAN SERAI – Sebanyak 1,100 unit rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Matang Gerdu di sini yang masih dalam pembinaan sudah dijual dalam tempoh setahun.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata ini membuktikan inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membantu golongan muda dan berpendapatan sederhana mendapat sambutan menggalakkan.
Beliau berkata baki 300 rumah lagi masih belum dijual berikutan pemohon gagal mendapatkan pinjaman perumahan dan pelbagai masalah seperti komitmen bulanan tinggi dan Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS).
“Keseluruhan 1,400 rumah ini adalah jenis teres dua tingkat dan dijual dengan harga bermula RM280,000. Projek yang bermula sejak dua tahun lalu itu dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun ini,” katanya pada majlis Perlepasan Benih Udang Galah di Sungai Kurau di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan asas di kawasan perumahan itu seperti masjid, taman permainan dan rumah kedai.
Sham juga berkata, kerajaan merancang untuk membina sebuah klinik kesihatan baharu bersebelahan tapak pembinaan projek PR1MA di Matang Gerdu tidak lama lagi.
“Klinik kesihatan utama di Parlimen Bagan Serai akan menjadi klinik utama kerana dapat membantu mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan Bagan Serai yang kini menjadi tumpuan pesakit untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambahnya, ketika ini jumlah pemohon untuk membeli rumah PR1MA di Matang Gerdu sudah mencecah lebih 2,000 dan pihak bertanggungjawab akan terus menawarkan peluang pembelian rumah kepada pemohon yang berkelayakan. – BERNAMA