SEORANG pemuda berusia 33 tahun, terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas mendapat pengampunan diraja dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Shahrul Izani yang dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah dimaklumkan mengenai berita gembira itu seminggu yang lalu di Penjara Sungai Buloh.
Perkara itu membuatkan ibunya, Sapenah Nawawi, 59, bersama-sama dengan pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International yang berusaha selama 13 tahun merayu agar hukuman anaknya itu diringankan merasa amat gembira kerana memberikan anaknya peluang kedua.
“Saya amat bersyukur kepada Tuhan. Saya mahu berterima kasih kepada Sultan Selangor kerana memberi pengampunan kepada anak saya dan juga terima kasih kepada semua yang berjuang untuk menyelamatkannya,” katanya.
Pada 2003, Shahrul yang ketika itu berusia 19 tahun ditahan polis menerusi sekatan jalan raya ketika menunggang motosikal kawannya dan polis mendapati dia membawa 622 gram kanabis.
Kemudian pada Disember 2009, dia didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Sepanjang perbicaraan, Shahrul bertegas tidak tahu-menahu kewujudan kanabis yang dibalut dengan surat khabar dan disembunyikan dalam motosikal tersebut.
Pada masa sama, Sapenah memberitahu, pihaknya juga akan membuat rayuan semula bagi mengurangkan tempoh hukuman.
“Shahrul dah dipenjarakan 13 tahun (2003 hingga 2017). Bayangkan, setiap waktu, setiap detik menanti hukuman sebab tarikh hukuman gantung tidak diberitahu. (Biasanya) setiap hari Jumaat hukuman gantung,” katanya sebak.
Sapenah berkata, beliau setiap hari berdoa anaknya dibebaskan dan terdapat hikmah di sebalik hukuman itu.
“Harapan saya, beliau akan menjadi anak yang soleh. Saya harap cepatlah. Saya dah tunggu 13 tahun. Saya takut beliau buat apa-apa di dalam (penjara).
“Bagi mengelakkannya tertekan, kami anak-beranak sentiasa memberi sokongan dan setiap minggu melawat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Shamini Darshni mengatakan walaupun rayuan untuk meringankan hukuman mati diterima, tetapi penggunaan hukuman mati di negara ini masih berterusan. – MYNEWSHUB.CC