KUALA LUMPUR – Dua wanita dipenjara sehari dan didenda RM1,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri pelbagai jenis barang berjumlah RM1,100.23 di sebuah pasar raya.
Majistret Mahyudin Mohmad Som memerintahkan Rosmawati Khauzi, 35, dan Nor Azura Mohamad Zin, 34, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap, iaitu semalam.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur, menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda tersebut.
Mereka didakwa mencuri antaranya 17 helai baju kanak-kanak, sebotol bedak bayi, tiga unit kosmetik, 17 paket pelbagai jenis makanan dan minuman, dan tiga bungkus lampin pakai buang yang kesemuanya bernilai RM1,100.23 milik pasar raya Aeon Jusco, Kepong, kira-kira 2.50 petang, 21 Feb lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dan bagi kesalahan kali kedua atau yang seterusnya hendaklah dihukum dengan penjara atau denda atau sebat.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. – BERNAMA