ALOR SETAR – Lima projek berkaitan menaik taraf loji rawatan air bernilai lebih RM500 juta bakal dilaksanakan menjelang akhir tahun ini bagi mengatasi masalah air di negeri ini, kata seorang anggota Exco.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, kelima-lima projek yang dijangka bermula pada September itu adalah antara langkah jangka masa panjang dalam menghadapi kekangan air terutama di kawasan yang pesat membangun.
“Antara tumpuan utama adalah menaik taraf loji rawatan air serta sistem perpaipan air mentah kerana, rata-rata kawasan yang mengalami masalah air adalah disebabkan sistem paip yang lama dan uzur,” katanya pada sesi taklimat bekalan air musim kemarau oleh Syarikat Air Darulaman (SADA) Sdn Bhd di Wisma Negeri di sini hari ini.
Lima projek tersebut membabitkan Loji Rawatan Air Pelubang, Loji Rawatan Air Bukit Selambau (Merbok), Loji Rawatan Air Sungai Limau (Baling), Loji Rawatan Air Lubuk Buntar Lama dan Loji Rawatan Air Jenun Baru (Yan dan Pendang).
Jelasnya, kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Pelubang yang dianggarkan bernilai RM200juta akan menyelesaikan masalah air di kawasan Alor Setar dan Kuala Kedah yang mengalami pembangunan pesat dari segi perumahan dan komersial.
“Sementara projek di Loji Lubuk Buntar Lama yang dijangka mencecah RM46 juta pula akan memastikan kapasiti bekalan air bagi seluruh kawasan Bandar Baharu mencukupi malah bertambah memandangkan kawasan tersebut akan dibangunkan sebagai Kedah Medical City,” jelasnya.
Badrol Hisham turut menjelaskan, kerja-kerja tersebut akan dijalankan secara serentak selepas peruntukan permulaan projek bernilai RM188 juta itu diluluskan oleh kerajaan pusat semasa pembentangan Bajet 2017 lalu.
“Kita jangka semua kerja-kerja ini akan disiapkan dalam tempoh dua tahun dan selepas semuanya selesai, ia akan mampu menampung bekalan air dalam kapasiti yang besar sehingga tahun 2040 tanpa masalah,” jelasnya.
Dalam pada itu, musim kemarau yang dijangka melanda sehingga April nanti bakal menyebabkan 26,000 pengguna air mengalami tekanan air rendah manakala sekurang-kurangnya 4,000 pengguna lagi mengalami masalah putus bekalan air.
“Biarpun musim kemarau tahun ini djangka tidak seteruk 2016, pihak SADA telah mengambil beberapa tindakan proaktif bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Antara tindakan strategik yang bakal diambil sekiranya keadaan kemarau semakin serius adalah melakukan pembenihan awan, catuan bekalan air, bantuan melalui lori tangki serta pengagihan semula bekalan air dari sumber yang bersempadanan,” katanya. – BERNAMA