PUTRAJAYA – Seramai 565 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, meningkat sebanyak 0.51 peratus berbanding 335 calon pada 2015.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata pencapaian calon STPM 2016 secara keseluruhannya meningkat dalam semua kriteria pengukuran, dengan PNGK Nasional mencatatkan peningkatan kepada 2.71 berbanding 2.65 pada 2015.
Beliau berkata bilangan calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas meningkat kepada 16,263 calon pada 2016 berbanding 14,263 calon pada 2015.
Katanya bilangan calon yang mendapat PNGK 2.75 ke atas turut meningkat daripada 20,359 orang dalam STPM 2015 kepada 22,407 orang pada 2016.
“Dengan peratusan dan bilangan calon yang mendapat PNGK 3.50 ke atas dan 2.75 ke atas, saya menjangkakan peluang lepasan STPM 2016 untuk diterima masuk ke Universiti Awam (UA) adalah lebih besar,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan itu, di sini hari ini.
Mohamed Mustafa berkata keputusan 43,235 calon yang menduduki peperiksaan STPM 2016 mengatasi semua pencapaian sejak STPM modular diperkenalkan pada 2013.
Dalam pada itu, katanya seramai 11 calon mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil, manakala bilangan calon yang mengambil lima mata pelajaran tetapi mendapat mendapat 4A pula adalah 47 orang.
Terdapat seramai 517 calon mendapat 4A dalam keempat-empat mata pelajaran yang diambil, menjadikan menjadikan jumlah keseluruhan calon yang mendapat 5A dan 4A dalam peperiksaan STPM 2016 meningkat kepada 575 orang berbanding 339 orang pada tahun sebelumnya.
Mohamed Mustafa berkata PNGK Nasional calon aliran sains adalah 2.73, mengatasi calon aliran sains sosial 2.71.
Bagaimanapun, katanya PNGK calon bagi kedua-dua aliran menunjukkan peningkatan yang sama iaitu sebanyak 0.07 mata berbanding PNGK STPM 2015. – BERNAMA