TAHNIAH diucapkan kepada penyanyi terkenal Nora Ariffin, dan komposer, Johan Nawawi yang akan menerima menantu pertama tidak lama lagi.
Ini kerana anak sulungnya, Mohd Syakir Iman, 24, telah pun selamat bertunang dengan gadis pilihan hatinya, Eilya Sofea Azman, pada Sabtu lalu.
Menurut Nora, anaknya sudah lama berkenalan dengan gadis itu menyebabkan dia sekeluarga merasakan lebih baik mereka ditunangkan.
“Memandangkan mereka sudah tiga tahun berkawan dan Sofea pula akan melanjutkan pelajaran ke Rusia dalam bidang perubatan dalam masa terdekat, kami berasakan lebih elok jika mereka ditunangkan. Cuma, kami tidak menetapkan berapa lama kedua-duanya akan bertunang.
“Sebagai ibu, apa yang terbaik buat anak, saya ikutkan saja. Tidak salah rasanya jika dia berkahwin muda asalkan bijak mengemudi rumah tangga yang bakal dibina.
“Anak saya baru saja menghabiskan pengajian peringkat diploma dan selepas ini dia kenalah bekerja sebagai persediaan untuk masa depannya.
“Buat Sofea pula, saya berharap dia dapat menerima anak saya dengan seadanya,” katanya memetik BH Online.
Terdahulu, anak sulung Nora pernah menghasilkan sebuah lagu berjudul Bulan. – MYNEWSHUB.CC