ALKISAH Mahathir Mohamad pernah berulang kali mendakwa Anwar Ibrahim seorang yang tidak tahu apa-apa mengenai ekonomi dan kesal kerana pernah melantiknya sebagai Menteri Kewangan.
Mahathir malah menyatakan Anwar mengambil jalan singkat apabila percaya Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menyelesaikan krisis ekonomi 1997-1998 yang antara punca pemecatan bekas timbalannya atas tuduhan moral.
Namun pendedahan terbaharu penulis blog politik, Raja Petra Kamaruddin atau RPK mungkin lebih masuk akal, sekali gus jawab misteri sebelum ini, jika Anwar jahil ekonomi, kenapa Mahathir lantik menjadi Menteri Kewangan?
Menurutnya, Mahathir terpaksa melantik Anwar sebagai Menteri Kewangan pada 1991 untuk menutup kesalahan melibatkan kegiatan perdagangan mata wang asing atau forex yang dilakukan oleh beliau dan Tun Daim Zainuddin.
Kata RPK lagi yang dipetik melalui portal www.malaysia-today.net, sejak akhir 1980-an, Bank Negara Malaysia (BNM) pernah terjebak dalam perdagangan forex akibat ‘permainan’ mereka sehingga mengalami kerugian mega!
Menurutnya, seawal 1989, media Barat telah mendedahkan bahawa BNM merupakan spekulator tukaran mata wang asing terbesar di dunia tetapi pada masa itu, bank pusat tersebut dikatakan sudah mula mengalami masalah besar.
“Mengapa pada 1991, Mahathir terpaksa ganti Daim secara tiba-tiba dengan Anwar adalah mudah. BNM terlibat dengan aktiviti forex dan mengalami kerugian terburuk, hanya tunggu masa sesuai untuk dunia mengetahuinya.
Baca: RPK – Zeti Jadi Gabenor BNM Simpan Rahsia Skandal Tun M?
“Jadi lebih baik untuk Daim meletakkan jawatan dan membiarkan Anwar pula mengambil alih,” tulis RPK. Beliau mendakwa, tugas Anwar ketika itu adalah untuk menutup ‘kerja kotor’ yang dilakukan Mahathir dan Daim.
Pada September 1992, George Soros ujarnya telah menyerang pasaran forex dengan AS$8 bilion (RM35.4 bilion) dipinjam daripada BNM yang sudah hampir tenggelam. Pada waktu itu, BNM ‘hilang’ AS$10 bilion (RM44 bilion).
Manakala Soros pula, jelas RPK, meraih keuntungan AS$1.2 (RM5.31 bilion). Meskipun Mahathir tahu Anwar merupakan seorang bercita-cita tinggi, namun beliau tiada cara lain bagi menyelamatkan skandal dirinya dan Daim.
“Pada waktu itu Mahathir memerlukan Anwar dan berbaloi untuknya mengambil risiko tersebut,” katanya sekali gus menolak dakwaan Mahathir bahawa kerugian yang dialami BNM tidak menjejaskan kedudukan ekonomi negara.
RPK mengulas pendedahan bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid baru-baru ini bahawa BNM rugi RM44 bilion menerusi kegiatan forex dari 1991 hingga 1993; jauh lebih besar daripada dilaporkan ketika itu.
Pada 1994, Mahathir dilaporkan berkata, kerugian sebanyak RM5.7 bilion oleh BNM dalam transaksi perdagangan wang asing pada tahun 1993 tidak menjejaskan kedudukan kewangan negara. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA