PUTRAJAYA – Malaysia memfailkan permohonan semakan semula penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge).
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat berkata, permohonan tersebut sudah difailkan di ICJ, The Hague, Belanda pada Khamis.
“Permohonan itu, yang difailkan di ICJ telah dibuat oleh Malaysia berdasarkan penemuan beberapa fakta tertentu yang menjadikan faktor penentu.
“Ia sebenarnya, apabila penghakiman sebelum itu diberi, tidak diketahui oleh pihak mahkamah dan juga Malaysia sebagai pihak yang menuntut semakan.
“Kami juga yakin bahawa kehendak yang ditetapkan di bawah Artikel 61 Statut ICJ telah dipenuhi, antara lain, permohonan untuk semakan semula itu.
“Ia perlu dibawa dalam tempoh enam bulan daripada penemuan fakta baharu tersebut dan dalam 10 tahun daripada tarikh penghakiman,” katanya.
Beliau berkata permohonan Malaysia untuk mendapatkan semakan semula terhadap penghakiman itu adalah kesinambungan daripada proses yang dimulakan sejak 9 Mei 2003 oleh kedua-dua Malaysia dan Singapura.
Dua negara berjiran itu bersetuju untuk menyerahkan pertikaian berkaitan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) kepada ICJ (“Perjanjian Khas”).
Mohamed Apandi seterusnya berkata bahawa penemuan fakta baharu tersebut adalah penting dan perlu dibawa kepada mahkamah berkenaan.
“Oleh itu, seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak di dalam Perjanjian Khas, ICJ merupakan forum yang sesuai untuk membicarakan isu ini semula,” katanya.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) merupakan milik Malaysia.
Pulau Batu Puteh seluas dua padang bola sepak terletak di 7.7 batu nautika di luar pantai Tanjung Penyusuh, Kota Tinggi, Johor dan 25.5 batu nautika dari Tampines, timur Singapura. – MYNEWSHUB.CC/SK