MARAN – Bangunan asrama perempuan Sekolah Menengah Agama (SMA) Maran di sini, musnah dalam satu kebakaran kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Pegawai Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Fazlee Alias berkata, tiga jentera serta sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran dan Temerloh dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Jelasnya, api marak dengan cepat berikutan struktur bangunan asrama berkenaan diperbuat daripada kayu.
Pasukan bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal kebakaran.
Ketika kejadian seramai 73 pelajar perempuan berada di perhimpunan manakala sebahagiannya lagi mengikuti kelas tahfiz.
Semua pelajar terbabit diarahkan pulang ke rumah masing-masing memandangkan sekolah itu tiada bangunan lain untuk menempatkan mereka ditambah pula semua pakaian dan barangan mereka hangus terbakar.
Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 8 pagi. Walau bagaimanapun kebakaran itu memusnahkan keseluruhan bangunan asrama berkenaan.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. –MYNEWSHUB.CC
*Video sekadar hiasan.