PETALING JAYA – Pelumba elit negara, Mohd Azizulhasni Awang bertekad untuk melakar sejarah meraih pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong pada 12 hingga 16 April ini.
Azizulhasni yang memenangi pingat emas peribadi kelapannya pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2017 di India, Jumaat lepas, berkata prestasinya kini berada pada tahap lebih baik berbanding sebelum ini.
“Sejak kecil saya mengidamkan untuk menjadi juara dunia. Saya telah berusaha sejak 2007, dan dengan prestasi saya pada masa ini, saya merasakan ini masa yang tepat untuk melakukannya.
“Di ACC baru-baru ini, prestasi saya seperti berada di pertengahan musim, jadi berbaki kurang dua bulan ini, saya berharap dapat meningkatkan lagi prestasi untuk mencapai tahap terbaik,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menandatangani perjanjian persefahaman selama setahun bersama sebuah syarikat penyaman udara dari Jepun, Daikin Malaysia Sdn Bhd di sini, hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu, bagaimanapun tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi, namun menegaskan akan mengerah segala kudrat bagi merealisasikan impiannya sejak daripada kecil itu.
“Selepas segala urusan penajaan di sini selesai, saya akan kembali ke Melbourne untuk meneruskan latihan. Sudah semestinya saya akan lebih berusaha keras kali ini,” kata pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Azizulhasni di Kejohanan Dunia adalah pada 2009 dan 2010 apabila berjaya merangkul pingat perak acara pecut dan Kierin pada tahun berikutnya. – BERNAMA