SEORANG jejaka yang juga bekas banduan baru-baru ini menjadi terkenal apabila menghangatkan laman sosial gara-gara gambar ketampanan yang dimilikinya pernah tersebar ke seluruh dunia.
Imej wajah dirinya dengan memiliki sepasang mata biru dan tulang pipi serta rahang yang jelas terbentuk pada mulanya dimuat naik melalui akaun Facebook Jabatan Polis Stockton, California, Amerika Syarikat.
Ketampanan yang dimiliki oleh Jeremy Meeks menyebabkan dia kemudian banyak menerima tawaran untuk menjadi model daripada pelbagai agensi peragawan dan untuk iklan jenama barangan terkenal.
Baca: Tuah Penjenayah Tampan, Dari Penjara Ke Pentas Peragaan
Setelah setahun keluar penjara, Meeks sekali lagi mencuri perhatian apabila muncul di pentas peragaan fesyen terkenal iaitu Minggu Fesyen New York (NYFW) yang berlangsung pada minggu lalu.
Menerusi acara berprestij itu, Meeks menggayakan jenama Philipp Plein dalam persalinan berwarna hitam, jaket hitam Puffa dengan hud berbulu serta seluar hitam.
Selain itu, dia juga tampil separa bogel, menampakkan corak tatoo yang terdapat pada bahagian badannya. Meskipun masih baharu dalam industri itu, Meeks kelihatan seperti model yang berpengalaman.
Meeks ditangkap dan dipenjara pada Februari 2015 kerana menyeludup senjata sebelum dibebaskan pada Mac tahun lalu, setelah setahun menjalani hukuman. – MYNEWSHUB.CC