MIRI – Satu lagi sekolah rendah di Sarawak ditutup akibat banjir menjadikan jumlah keseluruhan 18 sekolah setakat pukul 4 petang ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari Angkatan Pertahanan Awam (APM), Mejar Ismail Mahedin berkata, sekolah-sekolah rendah yang ditutup itu terletak di Limbang, Miri, Bintulu dan Saratok, yang membabitkan 1,427 murid.
Pada masa sama, katanya, jumlah terkini mangsa banjir di Limbang masih kekal kepada 413 mangsa daripada 126 keluarga.
“Kesemua mangsa adalah dari Rumah Panjang Asan, Kampung Semena dan Kampung Lubuk Lasas yang ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Masyarakat Mendamit di Nanga Mendamit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – BERNAMA