NEW DELHI – Tidak lama dulu, Uber yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan saingan tempatannya, Ola dilihat menawarkan pekerjaan yang baik bagi golongan pemandu teksi di India.
Ramai yang berhenti daripada pekerjaan masing-masing untuk menyertai sistem pengangkutan berasaskan aplikasi yang semakin mendapat sambutan di pusat-pusat bandar India sejak empat tahun lepas.
Teknologi Uber dan Ola, insentif kewangan dan kebebasan memilih waktu kerja memperkenalkan peluang-peluang dunia baharu bagi para pemandu yang sebelumnya terpaksa bekerja berjam-jam lamanya saban hari sedangkan pendapatan bulanan tidak seberapa.
Hari ini, hubungan yang bermula dengan baik itu berhadapan masalah getir kerana kepercayaan yang diharapkan kini telah bertukar menjadi kekecewaan dan saling tuduh menuduh.
Kalangan pemandu mengadu bahawa syarikat-syarikat teksi itu telah mengurangkan pelbagai faedah yang dijanjikan kepada mereka, memaksa mereka bekerja lebih masa untuk pendapatan yang sama.
Memandangkan ramai telah mengambil pinjaman untuk membeli kenderaan, sebahagian besar daripada pendapatan bulanan terpaksa digunakan untuk membayar hutang.
Pada 10 Februari, pemandu kedua-dua rangkaian perkhidmatan teksi dalam talian itu terpaksa melancarkan mogok di Delhi dan bandar-bandar satelitnya yang lain untuk menuntut kenaikan tambang dan keadaan kerja lebih baik.
Dikenali sebagai National Capital Region (NCR), Delhi dan kawasan-kawasan sekitarnya mempunyai 25 juta penduduk.
Mogok itu memberikan pengalaman buruk bagi berjuta-juta penumpang dan pelancong yang disambut dengan mesej ‘tiada kereta disediakan.’
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dua perkhidmatan teksi dalam talian itu telah menjadi pengangkutan pilihan utama bagi jutaan profesional, pekerja pejabat, pelawat hospital mahupun yang membeli-belah.
Teksi-teksi berkenaan menawarkan perkhidmatan yang boleh diharapkan, selesa dan cepat pada kadar tambang yang kompetitif.
Jika diberi pilihan, siapakah yang sanggup menggunakan sistem bas awam Delhi yang sentiasa sarat, kesesakan kereta api metro atau khidmat kenderaan beroda tiga (autorickshaw) yang tidak menentu?
Sistem dalam talian yang lengkap dengan jejak elektronik sesuatu perjalanan memberikan jaminan tambahan kepada golongan wanita mengenai keselamatan perjalanan di NCR, yang antara kawasan paling tidak selamat untuk wanita di India.
Dianggarkan 150,000 teksi (menurut rekod satu kesatuan, bilangannya mungkin mencecah 400,000 buah) tidak beroperasi di jalan raya-jalan raya Delhi.
Oleh itu, kekecohan biasa penumpang-penumpang Delhi seperti mana sebelum wujudnya fenomena Uber kembali kedengaran di merata tempat.
Teksi berdasarkan panggilan, yang beroperasi di bawah permit teksi biasa kerajaan, menerima permintaan sangat tinggi namun kekurangan teksi.
Panggilan-panggilan ke perkhidmatan teksi beradio mengambil masa lebih lama untuk dihubungi dan sering berakhir dengan eksekutif pusat panggilan membuat permohonan maaf kerana tidak dapat menyediakan kenderaan.
Perkhidmatan ini mengenakan bayaran kira-kira tiga kali ganda bagi setiap kilometer perjalanan berbanding kadar teksi berasaskan aplikasi dan masa menunggunya kedatangan teksi juga lebih lama.
Kenderaan berasaskan aplikasi telah secara drastik merampas perniagaan teksi beradio dan perhentian-perhentian teksi tempatan, dengan sejumlah besar daripadanya lenyap begitu sahaja manakala ada juga yang menyertai perkhidmatan berasaskan aplikasi yang lebih berpengaruh itu.
Selain itu, terdapat autorickshaws yang terkenal licik, di pandu oleh kalangan pemandu yang dikatakan antara paling biadab di dunia.
Apabila anda cuba menahan sesebuah autorickshaw, pemandunya akan memperlahankan kenderaan sambil tergesa-gesa bertanyakan destinasi anda.
Sebaik sahaja mendapati destinasi anda tidak mudah baginya, dia akan segera memberitahu kononnya dia sedang menuju arah berlawanan, jadi peluang untuk menaiki kenderaan itu bergantung kepada sama ada pemandunya mahu pergi ke arah yang anda inginkan atau sebaliknya.
Jika anda berkeras untuk menaiki kenderaan itu kerana dia tidak boleh menolak penumpang, dia akan menuntut wang tambahan.
Jika anda berkeras juga untuk hanya membayar tambang mengikut meter, pemandu itu mungkin akan berpura-pura sakit atau memberitahu bahawa kenderaannya telah kehabisan minyak.
Malah, pemandu autorickshaw itu berani menyindir pelanggan. “Mengapa anda tidak menempah Uber atau Ola saja?”
Delhi sentiasa berhadapan kebiadaban pemandu sebegini dan perkhidmatan mereka yang buruk. Syarikat teksi dalam talian selalunya melindungi penumpang daripada sikap buruk seumpama itu sehingga memburukkan hubungan mereka dengan pemandu. – BERNAMA