SEORANG lelaki dari Los Angeles, California yang terlalu obses dengan Britney Spears sanggup menghabiskan wang sebanyak £63,000 (RM34,957) untuk melakukan pembedahan plastik semata-mata mahu kelihatan seperti bintang pop idolanya itu.
Bryan Ray, 31, mula menjalani pembedahan plastik sejak berusia 17 tahun. Pembedaham pertama yang dilakukannya adalah membetulkan gigi bagi mendapatkan senyuman seperti Spears.
Sejak dari hari itu, Ray telah menjalani lebih daripada 90 pembedahan plastik termasuklah pembedahan hidung, pipi serta melakukan beberapa suntikan Botox untuk kelihatan serupa dengan penyanyi idolanya itu.
Selain menjalani pembedahan plastik, Ray sanggup menghabiskan sejumlah £393 (RM2,180) untuk membeli losyen bagi mengekalkan keremajaan kulitnya.
Menurut Ray, idolanya itu telah membantunya untuk memahami dirinya dan pada matanya Spears merupakan seorang wanita yang ‘sempurna’.
Tidak setakat itu, Ray juga mempelajari tarian selebriti idolanya itu dan mempamerkan kehebatannya ketika mengunjungi kelab malam, malah segelintir rakannya menggelar dirinya sebagai Britney.
Selain itu, Ray juga menonton semua wawancara penyanyi pop itu, berpakaian sepertinya dan sentiasa merakam dirinya lip sync lagu Spears.
Antara lagu Spears yang menjadi kegilaannya adalah berjudul ‘Gimme More’.
Jelas Ray kepada sebuah laman antarabangsa, dia pernah bertemu dengan idolanya itu sebanyak tiga kali pada 2007 semasa penyanyi itu mengalami zaman kejatuhannya, salah satunya ketika dia berkunjung ke sebuah pasar lambak di Hawaii.
“Mata saya tertumpu kepada barisan giginya yang cantik seperti di dalam gambar dan muzik video, dia adalah seorang yang baik,” jelasnya.
Ray bakal muncul di dalam program baharu dipanggil ‘Plastics Of Hollywood’ iaitu sebuah agensi bakat dan model yang mencari manusia menyerupai anak patung. – MYNEWSHUB.CC