KUALA LUMPUR – Penyanyi era 1980-an, Ben Nathan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini bagi membolehkan doktor memantau tahap kesihatan dan mentalnya selama seminggu.
Ben yang mencetuskan kontroversi apabila klip video yang memaparkan dirinya tidak terurus menjadi viral sejak beberapa hari lalu, dibawa ke HKL oleh Presiden Yayasan Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave dan anggota keluarganya, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.
Ben yang ditemui DJ Dave dan rombongannya di Brickfields di sini, kira-kira jam 11 pagi, dibawa ke HKL menaiki kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipujuk selama 30 minit.
Turut memujuk Ben untuk menjalani pemeriksaan kesihatan adalah adiknya yang dikenali sebagai Shanti dan anak buahnya. Antara alasan yang digunakan mereka adalah doktor mahu memberikan Ben ubat vitamin.
DJ Dave berkata, beliau mengambil inisiatif menjejaki penyanyi Stanza Sepi Sekeping Hati itu selepas berita Ben sering dilihat merayau-rayau tanpa tujuan di ibu negara menjadi viral.
“Selepas dimaklumkan di mana kedudukan Ben, saya meninggalkan mesyuarat di Subang Jaya dan bergegas ke Brickfields.
“Dengan kerjasama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya dinasihatkan membuat laporan polis sebelum berjumpa Ben. Kita bukan hendak menangkap Ben, tapi mahu mengikut produser ditetapkan.
“Walaupun pada mulanya Ben tampak terkejut, dia tidak agresif. Malah, sebaik bertentang mata, dia memanggil nama saya dan mengimbas memori silam,” katanya ketika dihubungi BH Online.
DJ Dave berkata, selepas berjaya dipujuk, Ben akur biarpun pada mulanya takut apabila melihat ada anggota polis bersama mereka.
“Saya menceritakan segala-gala yang berlaku kepada doktor di HKL termasuk pakar psikologi berhubung kecenderungan Ben berulang kali berkongsi cerita sama seperti rakaman album di Jakarta.
“Saya tidak pasti mengenai projek album itu, tetapi mungkin ada orang lain yang tahu mengenainya. Setiap kali memulakan perbualan, mesti perkara itu yang ditimbulkan dahulu,” katanya.
DJ Dave berkata, keluarga Ben ada memberitahu, penyanyi itu mula dikesan mengalami gangguan perasaan sejak sembilan tahun lalu.
Sementara itu, DJ Dave mengucapkan terima kasih atas keprihatinan JKM yang memberi maklum balas segera dan kesediaan membantu Ben.
“Kita serahkan kes Ben ini kepada JKM dan agensi berkaitan. Ben mungkin ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur selepas menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.
DJ Dave berkata, peminat diharapkan tidak menyalahkan keluarga Ben kerana mereka sentiasa memantau keadaannya tetapi Ben sering mengelak untuk pulang ke rumah.
Terdahulu, isu membabitkan Ben Nathan atau nama sebenarnya, Ben Adam Patmanathan Abdullah kembali menjadi sebutan selepas klip video dimuat naik pemilik Facebook (FB), Mannin Mainthan Malaysia (MMM) meluahkan rasa sedih melihatnya berkeliaran.
Berdasarkan video yang dirakamkan, Ben yang comot dengan pakaian kusut-masai, menerima sampul angpow daripada individu yang merakamkan video berkenaan.
Beberapa tahun kebelakangan ini, bekas penyanyi terbabit dikatakan sering ditemui di kawasan sekitar Pasar Seni, Muzium Negara, Brickfields, Masjid Jamek serta Ampang. – BH Online