KOTA KINABALU – Anggota mencari dan menyelamat (SAR) enam mangsa bot karam yang masih hilang di Sabah menemui dua jaket keselamatan di perairan Semarang, Labuan, tidak jauh dari lokasi 23 pelancong warga China dijumpai pada Ahad lepas.
Leftenan Komander Maritim Mohd Fauzi Ab Rahman, yang mengetuai Kapal Maritim (KM) Berani dalam operasi SAR itu, berkata jaket keselamatan itu ditemui pada tengah hari Rabu dan kira-kira jam 10 pagi semalam.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua jaket keselamatan berkenaan tiada kaitan dengan insiden bot jenis katamaran membawa 31 individu termasuk 28 pelancong warga China yang karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum Sabtu lalu.
“Berdasarkan laporan diberikan Maritime Rescue Sub Coordinator (MRSC), jaket keselamatan mangsa mempunyai nama operator pelancongan, namun, jaket keselamatan yang ditemui itu tiada tertera nama operator pelancongan,” katanya.
Mohd Fauzi, yang berkhidmat hampir tujuh tahun dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), berkata demikian kepada pemberita di Pusat Operasi APMM Wilayah Sabah dan Labuan di sini hari ini.
Katanya, teknik pencarian yang mengenal pasti semua objek terapung membawa kepada penemuan dua jaket keselamatan itu.
“Semasa operasi SAR, apa sahaja ditemui kami akan laporkan,” katanya, dan menambah keadaan jaket keselamatan masing-masing kelihatan usang dan bahru.
Menurutnya, jaket keselamatan terbabit akan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Berkongsi pengalaman semasa menyertai operasi SAR, Mohd Fauzi berkata, keadaan cuaca dan laut ketika ini baik berbanding pada hari pertama pencarian memandangkan cuaca buruk dan laut bergelora.
Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lepas, bot pelancong yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.
Setakat ini 25 mangsa dijumpai, termasuk tiga yang maut.
Operasi SAR yang masuk hari ketujuh hari ini memberi fokus di kawasan Permatang Semarang. – BERNAMA