ALAMAK… nampaknya satu Malaysia kena ‘prank’ dengan seorang pelawak mengenai kisah bayi lelakinya yang diberi nama Muhammad Putra Naruto yang menjadi tular di laman sosial baru-baru ini.
BACA: Fanatik Naruto Sampai Bawa Ke Nama Anak
Ini kerana nama sebenar bayi ini adalah Muhammad Putra Iyyad Mohd Shah Rizal dan bukan ‘Naruto’ seperti yang disangkakan ramai.
Penjelasan itu dibuat bapa bayi berkenaan, Shah Tapaw atau nama sebenarnya, Mohd Shah Rizal Sulaiman menerusi laman Instagramnya.
Menurut bekas peserta program realiti Bintang Mencari Bintang, nama Naruto itu hanyalah gurauannya bersama keluarga dan dia sendiri tidak menyangka perkara itu boleh menjadi tular hingga menyebabkan dia dikecam netizen.
Jelasnya, sijil kelahiran itu telah disunting sebelum dimuat naik olehnya.
“Sebenarnya nama anak Shah bukanlah Putra Naruto, itu semue gurauan dengan keluarga semata-mata Shah dengan family Shah.. so, jangan lah korang serius sangat… gurau je pun.. tapi kebetulan nampak macam betul sijil kelahiran tu kan?
“Shah ingat benda ni takde apa-apa… So, Shah nak minta maaf dekat semua pasal isu ini dan terima kasih dekat semua yang komen secara berhemah,” tulisnya.
Dalam pada itu, dia akui memang terfikir untuk meletakkan nama anaknya Naruto, namun mendapat bantahan kerana ada yang memaklumkan nama itu tidak membawa maksud yang baik.
Naruto merupakan siri manga popular di Jepun yang diterbitkan oleh pelukis Masashi Kishimoto. – MYNEWSHUB.CC