KOTA KINABALU – Sektor carian operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam lagi mangsa bot karam di Sabah dijangka diubah dari utara di kawasan perairan Labuan ke selatan melibatkan Permatang Semarang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata perubahan sektor carian yang dijangka merangkumi kawasan seluas kira-kira 3,900 batu nautika itu dibuat berikutan perubahan arah tiupan angin dan arus laut.
“Jumlah keluasan carian dari hari pertama SAR sehingga ke hari ini ialah 4,500 batu nautika persegi,” katanya kepada pemberita di Pusat Operasi APMM di Likas dekat sini hari ini.
Mengenai operasi SAR yang memasuki hari keenam, Adam berkata operasi hari ini melibatkan 23 aset laut dan udara, termasuk tambahan sebuah helikopter daripada unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya operasi SAR hari ini meliputi kawasan seluas kira-kira 3,900 batu nautika persegi, termasuk 750 batu nautika persegi di kawasan perairan Miri, Sarawak.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini, belum ada sebarang penemuan dalam operasi tersebut.
Katanya cuaca semasa operasi SAR pagi tadi adalah baik namun berubah dengan tiupan angin dan mendung, manakala laut berombak setinggi antara 2.5 hingga 3 meter.
Katanya keadaan cuaca itu walaupun tidak menyebabkan operasi SAR di laut dan udara dihentikan, namun keadaan laut yang bergelora sedikit menjejaskan tahap ketampakan objek di permukaan laut.
Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lalu, bot pelancong jenis Catamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu.
Setakat ini 25 mangsa dijumpai, termasuk tiga yang maut. – BERNAMA