KUALA LUMPUR – Celebrity Fitness dan Fitness First Asia bergabung di bawah Evolution Wellness Holdings Pte Ltd (Evolution Wellness) bagi menjadi rangkaian kelab kecergasan yang terbesar di Asia.
Gabungan itu membolehkan Evolution Wellness memiliki 152 kelab kecergasan milik langsungnya merentasi Asia, dengan disokong oleh dua pasukan pengurusan kesihatan dan kecergasan yang paling berpengalaman, kata Ketua Pegawai Eksekutif Simon Flint dalam satu kenyataan hari ini.
“Gabungan ini akan membolehkan kami beroperasi dengan peningkatan skala, jangkauan dan kecekapan untuk meningkatkan pengalaman anggota-anggota kami melalui pengembangan rangkaian kelab kami yang berterusan,” katanya.
Selepas penggabungan itu, syarikat kecergasan tersebut akan mempunyai kehadiran yang ketara di rantau Asia dengan operasi di empat negara utama, iaitu Indonesia (46 Kelab), Malaysia (35), Thailand (28) dan Singapura (21).
“Peningkatan skala operasi ini akan membolehkan Evolution Wellness merebut peluang di Asia, dengan sokongan makro yang kukuh serta trend sosial,” kata Flint.
Penggabungan tersebut disokong oleh penaja kewangan yang kuat daripada Navis Capital Partners dan Oaktree Capital Management, L.P. – BERNAMA