TAHNIAH diucapkan kepada penyampai radio Sinar FM, Feeya Iskandar atau lebih dikenali sebagai ‘Cik Piah’ kerana selamat melahirkan cahaya mata sulungnya, semalam.
Cik Piah melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul 11.30 pagi Selasa di sebuah pusat perubatan swasta di Klang, Selangor.
Bercerita mengenai cahaya mata sulungnya itu, Cik Piah memberitahu bayi seberat 2.8 kilogram itu dilahirkan secara normal.
Sementara itu, Cik Piah turut meluahkan rasa syukur dengan kehadiran bayi yang dinamakan Adam Malique ini.
“Syukur dengan anugerah terindah ini. Saya dan bayi selamat serta sihat.
“Saya terharu melalui satu lagi fasa hidup dan pengalaman melahirkan anak secara normal. Perasaan dan pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya kepada BH Online.
Pada masa yang sama, Cik Piah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya.
Cik Piah mendirikan rumah tangga dengan Nurashid Abd Wahab pada Mei tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC