KUALA LUMPUR – Akibat cuba merentap seutas rantai leher emas bernilai RM20,000 milik seorang pelajar, seorang pengawal keselamatan warga Nepal dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohd Zulbahrin Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Kumar Daral, 26, serta tambahan setahun penjara atas tuduhan kedua iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Tertuduh mengaku bersalah bersama-sama tiga tiga lain yang masih bebas melakukan cubaan merompak seutas rantai emas milik Nurhafizatul Sharina Zulkifli, 21, di sebuah kedai makan di sini, pada 7.30 pagi, 29 Dis tahun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda.
Tertuduh turut didakwa tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di Balai Polis Daerah Dang Wangi di sini, pada 1.20 petang, pada tarikh yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/53 dan boleh dihukum bawah Seksyen 6(s) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebat tidak kurang tiga kali sebatan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu serentak bermula dari tarikh tangkapan pada hari kejadian.
Mengikut fakta kes, ketika mangsa sedang membasuh tangan di kedai makan itu, tertuduh cuba merentap rantai leher mangsa tetapi gagal dan tertuduh kemudiannya cuba melarikan diri sebelum ditangkap oleh orang awam.
Terdahulu, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman ringan kerana dia menanggung isteri serta anak di Nepal.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurakkmal Farhan Aziz memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan alasan kes seperti itu banyak berlaku di ibu kota serta meninggalkan kesan trauma kepada mangsa. – BERNAMA