KUALA LUMPUR – Seorang bekas banduan yang baru sebulan dibebaskan dari penjara, didenda RM1,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri dua pasang kasut sukan.
Majistret Mahyuddin Mohamad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Khairul Anuar Abdul Karim, 41, selepas dia mengaku mencuri dua pasang kasut tersebut yang bernilai RM250 di Blok 45, Menara Orkid, Bandar Baru Sentul, di sini pada pukul 4.45 pagi, pada 8 Feb lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebatan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adila Noordin memohon hukuman setimpal. – BERNAMA