KUALA LUMPUR – PAS menolak kerjasama dengan DAP kerana DAP menolak penyelesaian yang diketengahkan oleh agama Islam untuk sesebuah negara.
Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, DAP juga berani menentang kehendak umat Islam mencari penyelesaian dengan agama mereka sendiri.
“Ia adalah permusuhan yang nyata terhadap Allah dan agamanya. PAS mengingatkan rakyat Malaysia agar menolak penyelesaian cara DAP,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
DAP yang mengetuai Pakatan Harapan merupakan sekutu politik kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).
Pakatan Harapan pula menandatangani perjanjian kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Nik Mohamad Abduh berkata, PAS menyeru rakyat menolak sebarang penyelesaian yang menolak pesanan-pesanan Islam.
Katanya, PAS menolak mereka yang bermusuh dengan Allah, Rasul dan agama Islam.
“Ia kerja sia-sia yang membazirkan masa dan usaha menuju kehidupan yang diredhai Allah,” katanya. – MYNEWSHUB.CC