KLUANG – Tindakan empat wakil rakyat DAP Melaka yang meletakkan jawatan dua hari lepas jelas menunjukkan parti itu tidak sehaluan dan berada di landasan yang tidak betul.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata DAP sering menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO, namun, parti itu tidak sedar bahawa apa yang dilemparkan terhadap BN dan UMNO sebenarnya berlaku di dalam parti mereka sendiri.
“Sebab itu, jangan tuduh dan bawa politik yang tidak membina dalam menghantui pemikiran rakyat terhadap BN dan UMNO.
DAP hendak tuding jari kepada rumah kita (BN dan UMNO) tetapi rumah tangga mereka sendiri pun tidak terkawal,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hak milik Felcra Sungai Jebong, Mukim Kahang, kepada 333 pemilik oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini hari ini.
Anggota Parlimen Sembrong itu mengulas tindakan empat wakil rakyat DAP Melaka yang keluar daripada parti tersebut iaitu anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bachang Lim Jak Wong, Chin Choong Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong) serta anggota Parlimen DAP Kota Melaka, Sim Tong Him.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata apa yang berlaku ketika ini dapat dinilai rakyat kerana mereka sudah bijak menilai parti yang ikhlas dalam memperjuangkan nasib rakyat.
Beliau berkata apa yang penting, BN dan UMNO tidak mempedulikan masalah dalaman parti lain sebaliknya melipatgandakan usaha dalam memastikan pembangunan di negara ini dapat dicapai sekali gus mengimbangi kesejahteraan rakyat.
“Kita dituduh ada menteri yang mahu letak jawatan tetapi akhirnya ia tidak benar. Yang berlaku adalah wakil rakyat mereka yang letak jawatan. Jadi, rakyat perlu menilai sendiri perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata beliau mengalu-alukan peletakan jawatan tersebut dan berharap lebih ramai lagi anggota parti tersebut mengikuti jejak langkah berkenaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata beliau percaya tindakan keluar parti itu dilakukan selepas empat wakil rakyat berkenaan memahami keadaan DAP ketika ini.
“Saya percaya mereka sudah faham dan dapat lihat DAP sudah berubah. Apa yang berlaku, parti itu dan parti bunga (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) hanya mahu mempergunakan antara satu sama lain untuk satu tujuan menjatuhkan BN.
Ini bermakna, suatu hari nanti mereka akan berpisah balik, ia tidak lebih seperti perkahwinan yang tidak kekal untuk satu matlamat. Bila politik tiada ketentuan, maka, negara tidak akan stabil. Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) mempergunakan Lim Kit Siang dan Lim Kit Siang juga mempergunakan Dr Mahathir hanya untuk satu matlamat,” katanya. – BERNAMA