HANYA tinggal kurang dua bulan, pelakon popular Sharnaaz Ahmad bakal bergelar suami kepada Noor Nabila Mohd. Noor.
Pastinya, Sharnaaz, 32, sibuk memastikan segala urusan perkahwinan yang ditetapkan pada 31 Mac depan berjalan dengan lancar.
Dek kerana itu juga, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad memutuskan untuk berehat seketika daripada kerja seni bagi memberi tumpuan mempersiapkan majlis bahagianya.
“Debaran untuk menaiki pelamin semakin hari semakin terasa, namun kesibukan bekerja kadang kala melekakan saya.
“Dari segi persiapan pula, banyak lagi yang belum diselesaikan, jadi saya memilih untuk bekerja sehingga penghujung bulan ini saja.
“Boleh dikatakan 50 peratus persiapan sudah pun dilakukan dan selebihnya akan cuba diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Kami juga memilih negeri kelahiran saya, Pulau Pinang, sebagai lokasi penggambaran praperkahwinan. Bertepatan dengan konsep ‘English’ dan ‘Heritage’.
“Saya rasa lokasi yang dipilih itu sangat sesuai. Nampak saja begini, namun sebenarnya saya mementingkan elemen klasik untuk diterapkan dalam tema perkahwinan,” katanya kepada BH Online.
Terdahulu, mjlis merisik diadakan di kediaman keluarga Noor Nabila pada 18 Disember 2016.
Noor Nabila adalah kakak kepada bintang terkenal, Neelofa.