SEJAK kebelakangan ini nama aktor kacak Fattah Amin melonjak naik dan kisahnya banyak mendominasi dada-dada laman sesawang sama ada berbentuk pujian mahupun cercaan.
Terbaharu pelakon berusia 27 tahun ini diundang ke program Telekung Talk yang dihoskan oleh pakar motivasi dan mata terkenal Prof Dr Muhaya yang dipancarkan secara live beberapa hari lalu menerusi laman Facebook.
Ketika sesi dialog yang berlangsung selama satu jam itu, Fattah hadir bersama ibunya yang dikenali sebagai Azizah.
Menerusi dialog yang berkonsepkan santai itu, Dr Muhaya ada bertanyakan beberapa soalan berkaitan kerjaya dan juga sisi peribadi hidup Fattah, disamping memberikan tip-tip untuk menjadi muslim sejati.
Nasihat pertama Dr Muhaya buat Fattah adalah berkaitan amalan yang senang dilakukan untuk masuk syurga antaranya ialah solat di awal waktu, berbuat baik kepada ibu bapa dan jangan mudah naik marah.
Selain itu, Dr Muhaya juga menasihatkan Fattah untuk menggunakan ketampanan dan populariti yang diraih untuk mengajak para peminatnya ke arah kebaikan.
“Kalau boleh every moment of your life, Fattah gunakan pengaruh… kalau orang suka kita orang akan dengar cakap kita, kalau akhlak kita yang baik,” ujar Prof Dr Muhaya.
Dalam pada itu, Dr Muhaya juga ada menyentuh hal berkaitan jodoh atau mencari pasangan hidup.
Jelasnya, untuk menjadi baik, seseorang itu perlu mengajak orang lain ke arah kebaikan dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik.
“Kalau kita kahwin dengan seseorang dengan kerana apa yang orang itu ada di luar, rumah dia, kereta dia, pangkat dia, semua itu akan hilang…”
“Wanita paling malang adalah wanita yang silap pilih suami dan wanita yang silap akan memilih suami yang silap,” jelasnya.
Itulah antara pesanan daripada Dr Muhaya buat Fattah.
Baca:Netizen Kecam Buku Fattah ‘Bangang’ Dan Penuh Selfie
Baca: “Salah Satu Usaha Saya Cari Rezeki Halal” – Fattah Amin
Baca: “Adalah Sebab Saya Marah Fattah Amin” – Sharnaaz
Pun begitu, sebelum berakhirnya sesi dialog itu, Fattah sempat menitipkan peringatan buat dirinya dan netizen di luar sana supaya cermin diri dahulu sebelum mengata orang lain.
“Sebelum kita nak komen atau bercakap buruk pasal orang lain, termasuk selebritilah, artis yang kita minat tu, kita nak bash dia, cuba tengok diri kita balik, kita ni dah cukup baik ke nak bercakap buruk pasal orang lain, maksudnya cermin diri kita dulu…”
Selain Fattah, antara selebriti tempatan yang pernah diundang menyertai program tersebut adalah Neelofa, Fizo Omar dan isterinya, Mawar serta beberapa artis lagi. – MYNEWSHUB.CC