BEIRUT – Calon presiden Perancis berhaluan kanan, Marine Le Pen semalam enggan memakai selendang untuk menutup kepalanya ketika pertemuan dengan mufti Lubnan.
Marine menyatakan pendirian itu ketika tiba di pejabat Sheikh Abdellatif Deryan di Beirut, selepas diserahkan selendang untuk menutup kepalanya.
Marine terus menolak pelawaan berkenaan dan kemudian membuat kenyataan ringkas kepada media sebelum meninggalkan kawasan berkenaan selepas pertemuannya selesai.
“Ulama Sunni tertinggi di dunia tidak meletakkan syarat ini jadi saya juga tidak perlu mematuhinya,” katanya merujuk kepada lawatannya ke Universiti Al-Azhar di Mesir pada 2015.
Abdellatif mengetuai badan ulama tertinggi Lubnan, Dar al-Fatwa.
Sementara itu, Dar al-Fatwa berkata dalam satu kenyataan, ia sudah memaklumkan Marine melalui pembantunya untuk menutup kepala mengikut protokol diamalkan badan itu.
Pakaian Muslimah menjadi topik sensitif di Perancis yang turut mengharamkan penggunaan burqa. – AFP/myMetro Online