SERDANG – Rekod cemerlang golongan wanita sebagai peminjam Tekun Nasional yang baik mendorong agensi itu melancarkan produk pembiayaan terbaharu untuk wanita, Skim Pembiayaan Program TemanNita.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika melancarkan skim pembiayaan itu hari ini, berkata golongan wanita merupakan peminjam yang baik dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam pembayaran balik.
“Oleh itu, lebih ramai usahawan wanita yang menceburi bidang keusahawanan harus diwujudkan,” katanya pada pelancaran secara bersama Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di sini.
Bercakap dalam sidang media selepas itu, Ahmad Shabery berkata skim tersebut yang memperuntukkan dana RM100 juta tahun ini terbuka kepada wanita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan, penjaja atau ingin memulakan perniagaan.
“Wanita yang menjadi ketua isi rumah digalakkan memohon skim berkenaan bagi memperkasa ekonomi mereka dan seluruh ahli keluarga,” katanya.
Skim Pembiayaan Program TemanNita menggunakan konsep pembiayaan secara berkumpulan bagi menyediakan kemudahan pembiayaan dengan lebih mudah, cepat dan efisien untuk keperluan perniagaan.
Setiap kumpulan terdiri daripada lima ahli yang kesemuanya wanita dengan had pembiayaan bagi pinjaman pertama ialah RM10,000Â dan pembiayaan seterusnya sehingga RM20,000.
Shahrizat ketika berucap menyifatkan skim pembiayaan itu sebagai langkah memperkasa golongan wanita dari segi ekonomi, sekali gus memberi kesan positif kepada institusi keluarga. – BERNAMA