BETAPA hancurnya hati seorang bapa selepas menyedari anak lelaki yang dibesarkannya selama 32 tahun rupa-rupanya bukan anak kandungnya.
Kekecewaan itu jelas tergambar pada wajahnya ketika dia muncul dalam rancangan Jeremy Kyle Show.
Lelaki itu, Oscar terkejut selepas hos, Jeremy memaklumkan bahawa ujian DNA yang dijalankan mendapati Valentine bukan anak kandungnya.
“Ujian DNA yang dijalankan menunjukkan Oscar bukan ayah kandung awak,” kata Jeremy kepada Valentine ketika mengumumkan keputusan tersebut.
Oscar yang terkejut, menangis kerana tidak menyangka perkara itu berlaku manakala Valentine yang turut berada di situ turut terkejut dan tidak dapat berkata-kata.
Mereka menyertai program televisyen berkenaan selepas ibu Valentine menyatakan terdapat kemungkinan Oscar bukan bapa kandung anaknya.
Oscar sebelum ini telah menghantar Valentine ke England dari Nigeria bagi mendapatkan pendidikan di situ.
Pada masa sama, Jeremy yang melihat aksi menyedihkan itu cuba memujuk Oscar.
“Menjadi ayah bukan mengenai ikatan darah tetapi bagaimana seseorang lelaki itu menjaga anaknya,” kata Jeremy.
Penonton yang menyaksikan rancangan berkenaan turut tersentuh dengan peristiwa tersebut dan menyifatkan ia sebagai pengakhiran yang menyedihkan.
Jeremy Kyle Show adalah sebuah rancangan bual bicara di Britain yang dihoskan oleh Jeremy Kyle. Ia telah disiarkan di ITV sejak 4 Julai 2005. – MYNEWSHUB.CC