TAHNIAH diucapkan kepada pelawak terkenal Shahrol Shiro dan isteri, Nor Farhanah, yang telah selamat menimang cahaya mata lelaki, Rabu lalu.
Nor Farhanah melahirkan bayi seberat 2.1 kilogram itu secara normal di Hospital Enche Besar Hajah Kalsom, Kluang, Johor, kira-kira pukul 9.36 malam.
Berita gembira itu dikongsi oleh Shahrol menerusi laman Instagramnya.
Dalam posting itu, Shahrol meluahkan rasa syukurnya terhadap kurniaan Ilahi ini dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu kelahiran isterinya.
Menurut Shahrol, anaknya itu dilahirkan pra matang memandangkan kandungan Farhanah baru berusia 35 minggu.
Bercerita detik cemasnya itu, Shahrol memberitahu pada mulanya isterinya mengadu sakit perut dan kerap berulang-alik ke tandas sebelum tiba-tiba air ketubannya pecah.
“Tiba-tiba air ketuban pecah dan Farhanah ada masa 24 jam untuk bersalin. Situasi itu menyebabkan saya panik, namun rakan-rakan menenangkan saya dan saya terus membawanya ke hospital swasta.
“Bagaimanapun, mereka tidak ada kemudahan yang cukup untuk menyambut kelahiran bayi dalam situasi mencemaskan itu dan saya terus membawanya ke hospital kerajaan.
“Farhanah dimasukkan ke bilik bersalin pada jam 7 malam dan selamat bersalin hampir tiga jam kemudian. Sepanjang dia mengalami kontraksi sehinggalah bersalin, saya temankannya serta menyambut kelahiran bayi,” katanya kepada Harian Metro.
Farhanah kini menjalani tempoh berpantang di rumah keluarganya di Kluang.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada pada 18 Mac.
Terdahulu, Shahrol pernah berkahwin buat kali pertama pada 2008 namun mereka bercerai pada 2012. Hasil perkahwinan itu, Shahrol mempunyai seorang cahaya mata, Muhd Adam Danish.
Dalam perkembangan lain, Shahrol bakal menyertai program Maharaja Lawak Mega 2017 bersama Ajak mulai 17 Februari ini. – MYNEWSHUB.CC