Saturday, November 23, 2024

Creating liberating content

Anwar Persoal Agenda AGM...

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan persoalan berkaitan Mesyuarat...

Pakatan Dakwa Kerjasama DAP...

KUALA LUMPUR - Gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan mendakwa kerjasama dengan parti DAP...

8 Penggiat Seni Terima...

KUALA LUMPUR - Astro dengan kerjasama Five Arts Centre menganugerahkan sebanyak enam geran...

Rizalman Ibrahim Reka Dalaman...

DALAM diam-diam rupanya pereka fesyen terkenal ni ada je projek terbaharunya.Rizalman Ibrahim kini...

Isu Bauksit Dibincang Pada Mesyuarat Exco Pahang Esok

KUANTAN – Isu berkaitan perlombongan bauksit dijangka akan dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Negeri Pahang esok, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Beliau berkata antara perkara yang diberikan tumpuan termasuk tentang tindakan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian lemas melibatkan tiga kanak-kanak di bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya di sini, daripada berulang pada masa depan.

Shahaniza menambah maklumat awal juga mengesahkan lombong itu, yang ditinggalkan selepas tempoh moratorium berkuat kuasa awal tahun lalu, beroperasi secara haram kerana permit yang dimohon ialah untuk mengeluarkan laterit.

“Lombong itu haram dan pihak PTG (Pejabat Tanah dan Galian) pernah mengambil tindakan termasuk menyita jentera di situ. Kami masih menunggu laporan rasmi PTG berhubung pemilik atau syarikat itu,” katanya.

Shahaniza berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, seorang daripada tiga kanak-kanak yang lemas di lombong bauksit pada Sabtu lalu, di Kampung Sungai Karang Darat di sini hari ini.

Beliau juga menyampaikan sumbangan daripada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob kepada ibu Nureen Ain Juwita, Nor Habibah Aidil, 50.

Dalam kejadian pada 5 petang Sabtu lalu, Nureen Ain Juwita, 10, dan dua kawannya yang juga pasangan beradik Salsabila Zuhairi, 12, dan Mahathir Mohamad Zuhairi, 7, ditemui lemas di bekas lombong bauksit berhampiran rumah mereka.

Ditanya sama ada kerajaan negeri Pahang akan mengeluarkan arahan supaya bekas lombong bauksit ditimbus, seperti yang dititahkan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini, Shahaniza berkata perkara itu sememangnya telah ditetapkan sebagai peraturan sebelum ini.


Tengku Abdullah semasa berangkat mencemar duli menziarahi keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afza (HTAA) pada malam kejadian telah menitahkan supaya semua kawasan bekas lombong bauksit ditimbus semula dan dipagar dengan segera untuk mengelak kejadian yang sama.

Baginda turut mengulangi titah yang sama selepas itu selepas menyedari masih belum ada sebarang tindakan dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab walaupun telah diarahkan berbuat demikian.

Dalam masa yang sama Shahaniza memaklumkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar kaunselor bagi menenangkan Nor Habibah, 50, selepas tragedi yang mengorbankan anak bongsunya, yang juga anak perempuan tunggalnya.

“Kita juga akan melihat bantuan lain yang boleh diberikan. Arwah Nureen Ain Juwita mempunyai tiga orang abang yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU). Setakat ini, seorang daripada mereka telah mendapat bantuan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa dan masyarakat untuk lebih prihatin dengan keberadaan anak-anak.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk tampil dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada lombong yang boleh mendatangkan bahaya. Jangan biarkan atau hanya bergantung kepada pihak berkuasa atau menunggu berlaku tragedi,” katanya. – BERNAMA

Kategori