JAKARTA – Tentera Indonesia menerima permohonan maaf tentera Australia berhubung isu penghinaan lambang negara yang mencetuskan perbalahan besar antara dua negara berjiran itu.
Ketua angkatan tentera Australia, Leftenan Jeneral Angus John Campbell yang berada di Jakarta tampil membuat permohonan maaf itu ketika bertemu panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Gatot Nurmantyo.
Jurucakap TNI dalam satu kenyataan memberitahu, tentera Australia mengenakan tindakan terhadap pegawai yang terbabit dengan insiden berkenaan.
Malah menurut Campbell lagi, kerjaya pegawai yang dikenakan tindakan itu juga akan terjejas.
TNI pada Januari lalu menggantung sementara kerjasama dengan tentera Australia kerana mendakwa menghina lambang negara itu.
Baca: Askar Dihina – Indonesia Gantung Kerjasama Australia
Isu itu tercetus selepas seorang pegawai TNI pada November lalu menyatakan bantahan terhadap modul pembelajaran di pusat bahasa, kem tentera khas di barat Australia.
Media Indonesia melaporkan, bantahan itu berkaitan rukun negara Indonesia yang dikenali sebagai Pancasila tetapi diubah menjadi ‘Pancagila’ di dalam modul berkenaan.
Nurmantyo dalam kenyataan itu berkata, rakyat Indonesia bahkan sanggup mati demi mempertahankan Pancasila.
“Terutama sekali tentera, ia sangat sensitif dan memberi kesan kepada kami,” tegasnya. – AP/myMetro Online