AKTOR Korea Selatan, Gong Yoo ‘mencuri hati’ ramai peminatnya dari seluruh dunia selepas lakonan berkesannya menerusi drama bersiri Guardian: The Lonely and Great God atau Goblin yang baru sahaja menamatkan sirinya beberapa minggu lalu.
Menerusi siri drama sebanyak 16 episod itu, Gong Yoo memegang watak sebagai Kim Shin bergandingan dengan Lee Dong Wook dan Yoo In Na.
Disebabkan drama itu menjadi fenomena, Gong Yoo menerima banyak jemputan daripada pelbagai pihak penganjur untuk mengaturkan pertemuan bersama peminat-peminatnya.
Difahamkan sebanyak 15 negara telah menghantarkan jemputan untuk mengadakan sesi ramah mesra itu antaranya Jepun, China, Hong Kong, China dan Australia.
Walau bagaimanapun, pihak agensi pengurusan Gong Yoo iaitu Management SOOP terpaksa menolak pelawaan tersebut kerana jadual kerja selebriti itu sendiri memang padat sehingga pertengahan Mac.
“Mereka menawarkan bayaran yang lumayan kepadanya untuk dia mengadakan sesi ramah mesra bersama peminat,” kata agensi itu.
Tahun lalu, filem lakonan aktor berusia 37 tahun ini iaitu Train To Busan turut mencapai kutipan box office di negara itu dan beberapa negara lain seperti Singapura, Perancis dan Filipina. – MYNEWSHUB.CC