PETALING JAYA – “Mangsa menjerit meminta tolong dari dalam rumah namun asap tebal dan api marak menyukarkan kami untuk membantu mereka,” kata saksi kebakaran sebuah rumah teres di Subang Jaya dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, empat sekeluarga ditemukan maut dipercayai akibat terhidu asap yang banyak selepas rumah mereka di USJ 2, terbakar.
Menceritakan kembali detik cemas itu, Aida Elena Baharudin, 45, yang juga jiran mangsa berkata pada 5.10 pagi beliau terdengar bunyi seperti orang membaling kayu dan batu sebelum terdengar jeritan mangsa meminta tolong.
“Saya kejutkan suami yang sedang tidur namun usaha kami untuk membantu gagal kerana pagar automatik menyukarkan untuk memasuki rumah selain asap tebal,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Aida Elena berkata beliau terkilan dan ralat kerana tidak dapat menyelamatkan kesemua mangsa berkenaan.
“Saya sedih dengan apa yang berlaku, mereka jiran yang baik, kami sering bertegur sapa ketika bertemu.
“Saya sendiri tidak dapat lelap sepanjang malam, itu mungkin petanda sesuatu yang buruk akan terjadi,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata mayat Lim Ah Kok, 59, bersama dua anak lelakinya Lim Yeong Liang, 20, dan Lim Yeong Wei, 17, ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam bilik tingkat atas manakala mayat ibu mereka Goh Bee Khion, 52, ditemukan dalam bilik air dalam keadaan terduduk.
Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu sebelum merebak ke tingkat atas rumah teres berkenaan.
“Punca kejadian masih lagi disiasat dan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM300,000,” katanya.
Difahamkan mangsa mempunyai seorang anak perempuan Lim Yi Jun, 21, yang tinggal di kampus UCSI University dekat Cheras dan tidak berada di rumah ketika kejadian. – BERNAMA