TUMPAT – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 960 saman kepada pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Tahun Baharu Cina bermula 21 Jan hingga semalam.
Pengarah JPJ Kelantan Mahasan Mustapha berkata dalam tempoh berkenaan, pihaknya memeriksa 2,966 kenderaan bagi mengesan pelanggaran undang-undang jalan raya.
“Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan memotong secara berbahaya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Malam tadi, JPJ Kelantan mengadakan operasi secara serentak di empat lokasi iaitu Pasir Pekan di sini, Machang, Bukit Bunga di Tanah Merah dan Gua Musang yang memberi fokus kepada pemeriksaan motosikal.
Beliau berkata pihaknya mendapati kesalahan tiada lesen memandu yang membabitkan penunggang motosikal agak tinggi.
Katanya pihaknya memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh penunggang motosikal kerana JPJ telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menggalakkan mereka mendapatkan lesen memandu. – BERNAMA