KUALA LUMPUR – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya semasa sambutan Tahun Baharu Cina kali ini berkurangan hampir lapan peratus berbanding perayaan tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata peratusan itu membabitkan 257 kematian berbanding 279 kematian yang direkodkan pada perayaan sama pada 2016.
Bilangan kemalangan maut pula susut 10 peratus kepada 235 kes berbanding 261 kes dalam tempoh sama.
Antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan itu ialah peningkatan penguatkuasaan dan pemantauan aliran trafik, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Bagaimanapun, Noor Rashid berkata, pada keseluruhannya kes kemalangan jalan raya meningkat sebanyak lima peratus daripada 19,572 kes semasa perayaan tahun lepas kepada 20,752 kes pada perayaan kali ini. – BERNAMA