KUANTAN – Jumlah mangsa banjir di Pekan Sungai Lembing di sini meningkat kepada 30 orang daripada 12 keluarga tengah hari ini berbanding lapan mangsa daripada dua keluarga pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusof berkata kesemua mangsa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara bermula pukul 7 pagi tadi selepas air Sungai Lembing melimpah akibat hujan lebat awal pagi tadi.
“Seramai 26 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing manakala empat orang lagi dipindahkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lembing.
“Kawasan kediaman yang dinaiki air sedalam 1.5 meter itu disebabkan oleh limpahan air dari Hulu Sungai Lembing yang naik secara mendadak selepas hujan lebat seawal pagi tadi,” katanya.
Katanya, banjir berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan lain-lain kawasan dan dijangka akan kembali pulih menjelang petang ini. – BERNAMA